Dasar PPSMI harus dikaji semula

Nov 17, 2008

Saya kira kebanyakan blog sahabat-sahabat di UPSI membicarakan tentang perkara ini. Apatah lahi kami selaku bakal guru yang akan mengajar subjek Sains di sekolah nanti, sudah tentu ternanti-nanti apakah hasilnya PPSMI kepada pelajar-pelajar serata negara.

Baru-baru ini Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien mengumumkan keputusan UPSR bagi batch pertama yang mengikuti PPSMI sejak dari Tahun 1 dan hasilnya kata beliau, PPSMI tidak gagal. Ini digambarkan dengan bilangan pelajar yang menjawab soalan Sains dan Bahasa Inggeris, walaupun bilangan pelajar yang mendapat 5A sedikit menurun, namun pihak kementerian masih berpuas hati.

Dalam Berita Harian pada hari ini (17 Nov 2008), ramai tokoh akademik memberikan pendapat masing-masing dalam perkara ini, antaranya ialah Prof Diraja Ungku Aziz, yang menyatakan banyak perkara yang perlu diambil kira antaranya ialah jurang pencapaian pelajar luar bandar dan bandar, juga faktor penghambat bagi pelajar luar bandar dalam menyokong pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Jadi, pelaksanaan dasar PPSMI yang bergantung pada bilangan pelajar yang menjawab dua subjek ini dalam BI tidak patut diambil kira kerana ianya langsung tidak menggambarkan potensi keseluruhan pelajar.

Bahkan kata beliau, sepatutnya pelajar diberi penguasaan dalam kedua-dua bahasa kerana Bahasa Melayu merupakan instrumen penting dalam memastikan perpaduan negara terus utuh dan dalam masa yang sama BI juga tidak diketepikan kerana ia membantu pelajar supaya tidak tercicir dalam arus semasa.

"Utamakan penguasaan pelajar dalam kedua-dua bahasa itu dulu, baru ia boleh dijadikan instrumen dalam PPSMI, sekali gus menggalakkan mereka meluaskan pembacaan dalam pelbagai bahasa untuk menambah ilmu, bukan sekadar lulus peperiksaan saja," katanya.

Apapun, banyak pro dan kontranya pelaksanaan dasar PPSMI ini, dan ia merupakan satu agenda yang baik kepada masyarakat jika dilihat dari aspek positif. Justeru samada ianya perlu diteruskan memerlukan pandangan, syura, dan sebagainya yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan kualiti pendidikan negara terjamin mutunya.

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP